Lelaki maut terjatuh bangunan

Anggota paramedik mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

KUCHING: Seorang lelaki maut apabila dikatakan terjatuh dari tingkat enam sebuah flat di Jalan Ban Hock, di sini sekitar jam 4.25 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata mangsa Tan Khang We berusia 33 tahun ditemui tidak sedarkan diri dengan pendarahan serius di bahagian kepala.

Menurutnya, polis dan ambulan bergegas ke lokasi kejadian dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.


“Siasatan awal polis mendapati mangsa dikatakan terjun dari tingkat 6 bangunan tersebut dan mangsa bukan penghuni di tempat berkenaan.

“Kini usaha sedang dijalankan untuk mengesan waris terdekat mangsa,” katanya yang turut memberitahu mangsa berasal dari Jalan Cross, di sini.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya.

“Setakat ini tiada unsur-unsur jenayah dikesan di tempat kejadian,” jelas Abang Ahmad.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara siasatan lanjut masih dijalankan.