Masyarakat Lawas digesa mendapatkan vaksin Covid-19

Awang Tengah (empat dari kiri) pada penyerahan Peralatan Sanitasi dan Alat Perlindungan Diri kepada 3 buah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) di Daerah Lawas pada Isnin (5 Julai 2021). Foto: Ukas

KUCHING, 6 Julai: Masyarakat di Lawas berumur 18 tahun ke atas dan layak mendapat vaksin Covid-19 digesa segera berbuat demikian.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, mereka boleh terus mendapatkan vaksin Covid-19 di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Daerah Lawas.

Jelas beliau, PPV beroperasi di Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Sundar, Trusan, Long Tuma, Merapok dan Muncu.

“Pastikan mereka yang belum keluar mendapatkan vaksin, segera berbuat demikian dengan mendaftar melalui MySejathera dan menggunakan kaedah-kaedah lain yang disediakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan vaksinasi ini.

“Kes positif di Sarawak masih tinggi, tetapi di Daerah Lawas ianya masih terkawal.

“Bagaimanapun, kita harus berwaspada terhadap virus ini dan memastikan setiap anggota keluarga, jiran dan masyarakat telah mendapat suntikan vaksin Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Peralatan Sanitasi dan Alat Perlindungan Diri kepada tiga buah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) di Daerah Lawas semalam.

Peralatan sanitasi dan alat pelindung diri sumbangan Empayar Holding Sdn Bhd itu diterima ketiga-tiga Pengerusi SJK Daerah Lawas.

Tambah Awang Tengah yang juga ADUN Bukit Sari, kerajaan Sarawak berharap dapat mencapai 80 peratus Imuniti Kelompok menjelang Ogos ini.

“Matlamat kita di Sarawak ialah mencapai Imuniti Kelompok pada penghujung Ogos ini.

“Di Lawas, lebih 33,000 orang yang berumur 18 tahun ke atas dan layak mendapat vaksinasi.

“Ini termasuklah mereka yang berkerja di ladang, industri kayu, kilang, pembuat rumah, pekerja restoran dan sebagainya yang mana mereka harus mendapatkan vaksinasi ini,” tambahnya.

Hadir sama Menteri Muda Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap ADUN Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail. — DayakDaily