Masih tiada pengesahan tentang status tiga projek jambatan — Julaihi

Julaihi (kiri) ditemuduga media ketika mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Petra Jaya semalam.

KUCHING, Jun 21: Kerajaan negeri setakat ini masih belum mendapat pengesahan samada kerajaan pusat Pakatan Harapan (PH) akan membina Jambatan Batang Lupar, Jambatan Rambungan dan Jambatan Igan yang sudah diluluskan pembinaannya sebelum Pilihanraya Umum Ke-14 lepas.

Menteri Muda Jalan Pesisir, Datuk Julaihi Narawi berkata setakat ini pihaknya masih berharap kerajaan pusat PH meneruskan pembinaan ketiga jambatan terbabit bagi menambahbaik perhubungan jalan raya pesisir pantai negeri ini.

“Kita sekarang hanya dapat berdoa dan berharap yang projek pembinaan ketiga jambatan terbabit yang sudah diluluskan kerajaan pusat sebelum ini akan terus diluluskan dan dibina dibawah kerajaan pusat (PH),” katanya selepas menerima kunjungan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan kenamaan lain di rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri nya di Petra Jaya, di sini, semalam.


Julaihi berkata sebelum ini, Jambatan Batang Lupar diluluskan dibina dengan persetujuan kosnya ditanggung bersama 50 peratus kerajaan negeri dan 50 peratus kerajaan pusat manakala pembinaan Jambatan Rambungan dan Jambatan Igan sepenuhnya ditanggung kerajaan pusat.

“Tiga jambatan terbabit terutamanya Jambatan Batang Lupar perlu dibina kerana kedudukannya amat strategik dalam jaringan jalan pesisir pantai negeri ini dan akan menghubungkan jalan terbabit dari selatan sehingga ke utara negeri ini,” katanya.

Beliau malahan mendedahkan pada sambutan Hari Raya lepas pemilik kenderaan terpaksa beratur panjang dan menunggu sehingga tiga atau empat jam bagi mengunakan perkhidmatan feri antara Triso dan Sebuyau yang mengambil masa 45 minit bagi menyeberang sungai.

Manakala jambatan lain bagi menyambungkan jalan pesisir pantai negeri ini iaitu Jambatan Krian, Jambatan Saribas, Jambatan Muara Lassa, Jambatan Paloh dan Jambatan Batang Rajang akan diteruskan pembinaannya kerana ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri. — DayakDaily