Maritim Sarawak usir keluar dua bot nelayan Indonesia ceroboh perairan negara

Maritim Malaysia telah mengusir dua buah bot nelayan asing yang dikesan menceroboh perairan negara di Barat Laut Tanjung Sirik, Mukah pada 18 Nov.

KUCHING, 20 Nov: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri Sarawak telah mengusir dua buah bot nelayan asing Indonesia yang dikesan menceroboh perairan negara di kedudukan 75.1 batu nautika Barat Laut Tanjung Sirik, Mukah pada 18 Nov.

Pengarah Maritim negeri Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, pada jam lebih kurang 8 pagi, dua buah bot nelayan berwarna biru merah dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika aset Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan Op Benteng dan Op Khas Kuda Laut di sekitar sempadan Malaysia – Indonesia.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua tekong dan awak-awak tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan tiada sebarang barang terlarang yang ditemui di atas bot tersebut.


Maritim Malaysia telah mengusir dua buah bot nelayan asing yang dikesan menceroboh perairan negara di Barat Laut Tanjung Sirik, Mukah pada 18 Nov

“Dua buah bot yang ditahan dikendalikan oleh empat orang warga Indonesia dengan peralatan menangkap ikan jenis pukat rawai serta hasil laut ikan campur dengan anggaran berat 200 kg. Bot nelayan asing tersebut bersama awak-awak kemudian telah diarah dan diusir keluar dari perairan negara iaitu 28 batu nautika ke sempadan Malaysia-Indonesia sejajar dengan situasi semasa bagi mengekang penularan Covid-19,” jelas Zin Azman

Dua buah bot nelayan asing Indonesia yang dikesan menceroboh perairan negara di kedudukan 75.1 batu nautika Barat Laut Tanjung Sirik, Mukah pada 18 Nov

Komuniti maritim diharapkan selalu berganding bahu bersama agensi penguatkuasa dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah di laut menerusi talian MERS 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak ditalian 082-432544 yang beroperasi 24 jam. — DayakDaily