SKMM beri amaran skim bonus tawaran syarikat telekomunikasi

MCMC menegaskan tidak pernah mengeluarkan sebarang e-mel atau mesej kepada orang awam untuk menuntut hadiah berupa wang tunai di bawah skim bonus

KUCHING, 20 Nov: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meminta orang ramai berwaspada terhadap e-mel atau mesej mengenai skim bonus yang ditawarkan satu syarikat telekomunikasi.

Dalam satu kenyataan SKMM, pihaknya menegaskan tidak pernah mengeluarkan sebarang e-mel atau mesej kepada orang awam untuk menuntut hadiah berupa wang tunai dibawah skim terbabit.

“E-mel berkenaan yang tular di media sosial antara lain mendakwa, hasil pemantauan yang dijalankan oleh Rangkaian Pemantauan Perisikan Siber mendapati mangsa yang ditujukan mesej berkenaan masih mempunyai transaksi yang belum diselesaikan dengan syarikat Telekom Malaysia Berhad ,” menurut kenyataan itu disiarkan di laman facebook Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia hari ini.


Transaksi terbabit iaitu sebagai pemenang hadiah wang tunai sebanyak RM270,000 di bawah skim TM Family Gift Bonus.

“Sehubungan itu, orang ramai adalah diingatkan untuk sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan e-mel atau mesej yang tidak ditentukan kesahihannya,” menurut SKMM.

Pihaknya juga meminta orang ramai mengelakkan dari memberikan butiran peribadi seperti kad dan nombor akaun bank kepada individu yang tidak dikenali.

Selain itu, SKMM juga menyarankan orang ramai melaporkan kepada polis sekiranya mereka ada menerima mesej atau e-mel yang berbaur penipuan oleh pihak yang tidak dikenali. — DayakDaily