Maritim Malaysia menahan bot tunda tanpa juragan berkelayakan

Bot tunda yang ditahan selepas didapati dikendalikan oleh juragan yang tiada kelayakan.

KUCHING: Sebuah bot tunda yang sedang menunda tongkang bermuatan simen telah ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan 2 Batu Nautika dari Tanjong Po, semalam.

Pengarah Daerah Maritim Kuching Kepten Maritim Shahref Steve Mac Queen bin Abdullah berkata bot tersebut ditaham untuk pemeriksaan rutin sekitar jam 10 pagi semalam.

“Pemeriksaan mendapati bot tersebut tidak dikendalikan oleh juragan yang berkelayakan dan telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952(MSO 1952).


“Jika didapati bersalah boleh dikompaun tidak melebihi RM10,000 ke atas pemilik bot tunda tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tongkang muatan pasir yang ditunda bot berkenaan turut disita untuk siasatan lanjut.

Shahref selain itu memberitahu sehingga semalam, sebanyak dua kes di bawah MSO 1952 dilaporkan pada tahun ini.

“Kesalahan ini tidak boleh dipadang remeh bagi mengelakan kejadian yang tidak diingini seperti pelanggaran bot disebabkan ketiadaan juragan yang berkelayakan,” katanya.