This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 15 Sept: Cubaan sebuah bot menyeludup keluar barang terkawal berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak petang semalam.
Pengarah Maritim Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunos berkata, bot berkenaan ditahan oleh bot Peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan Operasi Permai dan Operasi Tiris di sekitar perairan Sematan.
Katanya bot berkenaan dikesan sedang bergerak di sekitar kedudukan 2.7 batu nautika Barat Laut Pulau Talang Besar.
“Dipercayai bot berkenaan sedang bergerak menuju ke arah sempadan Malaysia-Indonesia.
“Semasa pemeriksaan dijalankan didapati empat kru termasuk tekong warga negara Indonesia berumur lingkungan 31 hingga 55 tahun berada di dalam bot berkenaan.
“Kesemua kru tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah 1,644 kg gula, 10 unit tong gas (14 kg), dan 30 kg beras dipercayai untuk dijual di pasaran Indonesia.
Katanya, kesemua suspek ditahan bersama bot dan barang rampasan bernilai lebih RM142 ribu telah dibawa ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) untuk siasatan lanjut.
Berikutan daripada kejadian berkenaan, pihak Maritim Negeri Sarawak memohon kepada masyarakat khususnya komuniti maritim membantu pihak agensi dengan melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut di talian Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak 082-432544 atau talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam. — DayakDaily