Manyin: 263 sekolah kurang murid dikenal pasti digabung menjadi 49 sekolah berpusat

Manyin (tengah) pada sidang media di DUN hari ini (Nov 12, 2019).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Nov 12: Sejumlah 263 sekolah kurang murid (SKM) telah dikenal pasti di seluruh Sarawak untuk digabung menjadi 49 sekolah berpusat.

Namun, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi (MESTR) Datuk Seri Micheal Manyin berkata keputusan menutup SKM harus dipersetujui ibu bapa murid yang terlibat.


“MESTR telah mengadakan dialog, dan juga telah menulis surat kepada semua wakil-wakil rakyat dimana kawasan mereka terlibat di dalam cadangan penggabungan ini.

“Kita memerlukan bantuan mereka untuk mendapatkan sokongan dari ibu bapa dan komuniti, tetapi hanya segelintir sahaja yang memberi maklum balas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan kementerian beliau di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Justeru, Manyin menggesa wakil-wakil yang terlibat memberi penjelasan kepada ibu bapa berhubung kesan SKM terhadap proses pembelajaran anak mereka.

Katanya, selain kos operasi yang tinggi, SKM tidak disediakan dengan tenaga pengajar yang cukup.

“Sebagai contoh, guru yang dilatih untuk mengajar Bahasa Malaysia, juga diberi tugas untuk mengajar matapelajaran lain seperti Inggeris, Sains dan Matematik.

“Oleh kerana mereka tidak dilatih untuk mengajar matapelajaran ini, keyakinan dan pencapaian mereka turut terjejas.

‘Keadaan ini juga menjejaskan minat dan pencapaian murid yang masih berada di sekolah rendah terutama pada matapelajaran Sains dan Matematik,” ujar beliau.

Pada sidang media selepas ucapan tersebut, Manyin berkata pengagihan peruntukan dari kementerian juga mengambil kira jumlah murid.

Tambah beliau, SKM yang majoritinya wujud di kawasan luar bandar menerima peruntukan yang kecil dan keadaan ini turut menyumbang kepada pencapaian murid-murid.

Dalam pada itu, Jabatan Pelajaran Sarawak setakat bulan November 2019 telah menyenaraikan 651 SKM di negeri ini.

Dari jumlah itu, 8 sekolah didapati kurang dari 10 orang murid, 43 sekolah dengan 11 hingga 20 orang murid, 54 sekolah(21 hingga 30 murid.

Sejumlah 196 sekolah lagi merekodkan 31 hingga 50 murid, 296 sekolah dengan 51 hingga 100 murid dan 54 sekolah dengan 101 hingga 150 murid. — DayakDaily