KUCHING, April 8: Tidak ada sebab untuk kaum wanita termasuk di Sarawak menolak Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini kerana melihat pada manifesto yang dilancarkan, ia jelas mengangkat martabat wanita, kata Dato Sri Rohani Abdul Karim.
Menurut beliau jaminan 30 peratus keanggotaan wanita dalam Dewan Negara, 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan dalam semua sektor, insentif untuk wanita kembali bekerja dan fleksibiliti dalam bekerja dapat melahirkan ribuan wanita professional yang berjaya dalam bidang korporat, politik, kepimpinan dan pelbagai bidang sebagai tulang belakang negara.
Malah, penyandang kerusi Parlimen Batang Lupar itu menyifatkan sesuatu yang menarik apabila Rumah Transit Belia 1Malaysia terutamanya untuk wanita muda yang baru memulakan kerjaya ditingkatkan yang bakal memberi lebih banyak kemudahan dan peluang kepada mereka bagi memulakan kehidupan dengan lebih selesa.
“Dengan bertunjangkan keutamaan kepada ibu dan wanita sebagai tonggak, dapat saya lihat bahawa manifesto kali ini benar-benar adil dan saksama yang meletakkan peranan semua golongan masyarakat dalam pembangunan negara,” katanya menerusi satu kenyataan.
Rohani yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menambah selaras dengan tahun ini sebagai Tahun Memperkasa Wanita (TMW18), penubuhan Majlis Ekonomi Wanita (MEW) adalah sesuatu yang amat dialu-alukan.
Katanya, MEW yang bakal dipengerusikan oleh Perdana Menteri dilihat dapat menentukan hala tuju dan pembangunan agenda wanita dengan lebih terarah.
“Sememangnya agenda pemerkasaan ekonomi wanita menjadi perkara utama yang digariskan dan merupakan salah satu kluster di bawah TMW18,” katanya.
Selain itu, Ronani berkata tidak ketinggalan apabila pewaris negara akan datang iaitu kanak-kanak diberikan tumpuan dalam manifesto ini terutamanya menerusi pelaksanaan polisi penjagaan awal kanak-kanak universal, yang beliau pasti ia merupakan hadiah terbaik dalam memastikan kanak-kanak terus membesar dalam persekitaran yang sihat dan keselamatan terjamin.
“Ternyata manifesto yang mendahulukan rakyat ini sangat tepat dengan situasi negara yang mahukan rakyat terus sejahtera di bawah tampok pemerintahan BN.
“Aku Janji Kerajaan Persekutuan dalam manifesto yang lalu telah membuktikan bahawa kelangsungan pucuk pimpinan BN harus diteruskan dalam memastikan negara terus maju.
“Saya percaya manifesto ini disambut baik di peringkat akar umbi hingga kepada pucuk pimpinan dalam memastikan Malaysia terus bersama BN, ‘Hebatkan Negaraku!’ ” katanya. — DayakDaily