‘Manifesto BN bukti PM tunaikan janji kepada Sarawak’

Kelihatan Dr Abdul Rahman (kiri) berjabat tangan dengan Najib semasa lawatan Najib ke Empangan Bakun baru-baru ini.

KUCHING, April 8: Tumpuan khas manisfesto Barisan Nasional (BN) untuk Sarawak membuktikan Perdana Menteri Najib Tun Razak menunaikan janji yang diumumkan semasa perasmian Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang lalu, kata seorang pemimpin BN Sarawak.

Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Dr Abdul Rahman Junaidi berkata ia terutama dalam pengiktirafan untuk mengembalikan hak-hak negeri yang sengaja atau tidak sengaja terhakis daripada Perjanjian Malaysia 1963, termasuklah hak negeri untuk menguruskan sendiri industri minyak dan gas.

“Ini akan meningkatkan dan memperkasakan pembangunan Sarawak pada masa depan,” katanya ketika dihubungi bagi mengulas Manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) BN yang diumumkan Najib semalam.


Selain itu, beliau menyifatkan peruntukan yang besar untuk Sarawak memperluaskan liputan bekalan elektrik juga akan dapat membantu mempercepatkan sasaran Kementerian Utiliti untuk membekalkan elektrik 100 peratus ke setiap isi rumah di seluruh negeri menjelang 2025.

“BN sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan berpengalaman memerintah selama enam dekad akan mampu melonjakkan pembangunan negara pada tahap yang lebih hebat pada masa depan,” katanya. — DayakDaily