ENGKILILI, Julai 23: Lebih 167 mangsa kebakaran daripada 26 keluarga dalam malapetaka yang berlaku di Rumah Lepang, Sayat pada Julai 15 lalu menerima sumbangan daripada Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang.
Menurut satu kenyataan media, Jugah tiba di penempatan sementara penduduk Rumah Lepang, Sayat bersama rombongan dari pusat khidmat rakyat Parlimen Lubok Antu dan turut meluangkan masa mendengar dan meninjau perkembangan terkini para mangsa yang ditempatkan di penempatan berkenaan sejak hampir seminggu lalu.
“Kita harap mangsa yang terbabit bersabar dan kita di Parlimen Lubok Antu akan cuba sedaya upaya untuk membantu terutamanya dari segi kebajikan. Kita tidak akan mengabaikan mana-mana rakyat yang ditimpa musibah dan akan berusaha sedaya upaya untuk membantu mangsa,” katanya.
“Kita berterima kepada masyarakat yang membantu seperti agensi korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan juga mereka yang memberikan sumbangan persendirian. Ini membuktikan tanpa mengira kaum, agama mahupun fahaman politik, apabila melibatkan bencana dan kesusahan, rakyat akan prihatin serta tampil memberi bantuan,” tambah Jugah.
Beliau bersyukur kerana tiada kejadian yang tidak diingini berlaku seperti kehilangan nyawa atau kecederaan, cuma kemusnahan harta benda dan dokumen-dokumen penting.
Dalam lawatan kelmarin, Jugah telah menyampaikan bantuan kewangan RM100,000 kepada 26 keluarga itu untuk kegunaan mereka membeli keperluan membina semula rumah mereka yang telah musnah.
Beliau juga memperuntukkan RM20,000 kepada JKKK Rumah Lepang sebagai bantuan bencana alam untuk membantu meringankan beban 167 penduduk rumah panjang tersebut.
Sementara itu, antara sumbangan yang diagihkan adalah keperluan harian seperti beras, minyak masak, gula dan sebagainya. — DayakDaily