Dua penganggur disyaki edar dadah dicekup

Gambar komposit menunjukkan dadah yang dirampas daripada suspek.

Oleh Dean Adam

LAWAS, Julai 23: Dua penganggur yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dicekup menerusi satu serbuan di Kampung Tengah, Trusan, Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Supt Sahar Abdul Latif, berkata kedua-dua suspek yang dicekup pada pukul 8.15 pagi itu berusia antara 20 hingga 45 tahun.

Katanya, hasil pemeriksaan polis telah menjumpai satu set tiga raga buluh yang digantung dan apabila dibuka, ianya mengandungi 46 keratan tiub straw berwarna merah jambu yang setiap satu keratan berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 10.4 gram.

“Kedua-dua suspek ditahan dan dinyatakan kesalahan yang dilakukan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 seterusnya dibawa ke pejabat BSJND (Narkotik) Lawas.

“Aktiviti pengedaran suspek berusia 45 tahun bermula pertengahan tahun ini di sekitar kawasan setempat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sahar menambah, hasil ujian saringan awal air kencing terhadap suspek berkenaan didapati positif dadah Amphetamine dan Methamphetamine, manakala suspek kedua negatif dadah.

“Oleh itu, suspek pertama turut ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya. — DayakDaily