BAU, Sept 23: Penemuan seorang lelaki yang hilang sejak seminggu lalu mencetuskan tanda tanya apabila dia dipercayai melangkah memasuki dimensi alam ghaib yang penuh mistik serta misteri.
Berdasarkan pergaulan ringkas bersama anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang menemui mangsa, Stanley Kho, 22, mendakwa dirinya telah berjumpa dengan seorang ‘gadis’ cantik semasa mendaki Gunung Singai pada Isnin lepas.
Dakwanya, dia terus mengikut ‘gadis’ misteri berkenaan ke dalam alam bunian tanpa menyedari dirinya telah hilang dari dunia nyata.
“Mangsa mendakwa turut mendengar pergerakan serta suara pasukan SAR mencarinya, namun mulutnya seolah-olah dikunci oleh makhluk halus atau orang bunian,” kata anggota pasukan SAR yang enggan dikenali.
Sebelum itu, Kho telah ditemui oleh pasukan SAR pada pukul 8.40 pagi dengan jarak mangsa ditemui hanya kira-kira 300 meter dari Pos Kawalan Bomba (PKB) di situ.
Penduduk kampung sebelum itu terdengar mangsa menjerit meminta tolong pada pukul 8.10 pagi.
DayakDaily sebelum ini melaporkan dalam kejadian Isnin lepas, mangsa dilaporkan hilang selepas mendaki gunung itu bersendirian kira-kira pukul 8 pagi.
Laporan berhubung kehilangan mangsa hanya dilakukan pada pukul 4.35 petang, hari yang sama.
Kehilangan mangsa disedari tiga rakannya yang menemui kereta lelaki berkenaan masih diletakkan di kaki Gunung Singai.
Persoalannya di sini, kewujudan alam bunian sudah pasti mencetuskan misteri dalam kalangan masyarakat ketika ini.
Ini adalah kerana, dunia mistik tersebut didakwa wujud, namun terselindung di sebalik pandangan manusia biasa.
Akan tetapi, misteri dunia bunian hanya akan terbongkar selepas ada individu atau pihak yang mendakwa berjaya melangkah memasuki dimensi alam ghaib itu menerusi kejadian aneh dan mistik. — DayakDaily