Oleh Dean Adam
BETONG, Nov 4: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas bot yang dinaikinya karam semalam ditemui mati di sungai berhampiran Kampung Beladin di sini hari ini.
Mangsa, Mohd Saufi Sabeni, 27, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 10.50 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong, Vincent Baling berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Pos Kawalan Bomba untuk tujuan pengesahan identiti.
Katanya, pihak polis selepas itu mengesahkan mangsa yang dijumpai adalah mangsa bot karam di Sungai Batang Saribas.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi SAR yang memasuki hari kedua ditamatkan sepenuhnya pada pukul 11.30 pagi,” katanya di sini hari ini.
DayakDaily semalam melaporkan seorang lelaki dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaikinya bersama enam penumpang lain karam akibat dipukul ombak di Sungai Batang Saribas di sini semalam.
Kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 2 pagi, namun pihak bomba hanya menerima laporan mengenai insiden berkenaan pada pukul 11.25 pagi.
Bagaimanapun, dalam insiden sama, enam lagi penumpang lain selamat apabila berenang menyelamatkan diri mereka.
Berdasarkan laporan diterima, bot penumpang tersebut dikatakan membawa tujuh orang termasuk pemandu bot dan dalam perjalanan ke Beladin.
Namun, malang menimpa mereka apabila bot tersebut dikatakan karam akibat dipukul ombak. — DayakDaily