Mangsa bot karam berpaut pada kayu selama 4 jam, menunggu diselamatkan di Tanjung Po

Mangsa diberikan bantuan sebaik tiba di Jeti Komtas

KUCHING, 12 Mac: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak telah menerima laporan awam mengenai kejadian sebuah bot nelayan karam pada jarak lebih kurang 3.5 batu nautika dari Tanjung Po, pada jam 12.55 tengahari semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, empat mangsa merupakan lelaki warga tempatan berumur dalam lingkungan 26 hingga 56 tahun.

Beliau memberitahu, kesemua mangsa telah diselamatkan oleh nelayan yang melalui kawasan tersebut dan terus membawa semua mangsa ke jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (Komtas).


“Setiba dijeti, mangsa telah diberikan rawatan awal dan keperluan asas oleh anggota Maritim Malaysia, sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Bako.

“Pihak klinik memeriksa semua mangsa dan mendapati tiada sebarang kecederaan serta dalam sihat dan dibenarkan pulang,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa keluar ke laut menaiki sebuah bot nelayan tempatan kelas B dari Jeti Nelayan Kampung Beladin sekitar jam 4.00 pagi semalam.

“Pada jam lebih kurang 8 pagi, secara tiba-tiba ombak besar melanda dan menyebabkan bot yang dinaiki pecah dan tenggelam.

“Kesemua mangsa tidak sempat untuk memakai jaket keselamatan dan telah berpaut pada sebatang kayu selama lebih kurang empat jam sebelum diselamatkan oleh sebuah sampan yang melalui kawasan tersebut,” katanya.

Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim agar batalkan niat ke laut sekiranya cuaca buruk dan sekiranya keadaan mendesak untuk ke laut, utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan.

“Kita sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh Komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak ditalian 082-432544,” ujarnya. — DayakDaily