Mangsa banjir di empat daerah terus meningkat

Penduduk di Kampung Tebakang, Serian menggunakan perahu bagi meredah kawasan yang di tenggelami air akibat banjir.

KUCHING, 5 Feb: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di empat daerah di negeri ini terus menunjukkan peningkatan.

Setakat jam 12 tengahari hari ini, seramai 1,041 mangsa daripada 338 keluarga di tempatan ditempatkan di 18 PPS di Tatau, Simunjan, Samarahan dan Serian.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Mejar Ismail Mahedin berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan seramai 56 mangsa berbanding 985 mangsa yang dipindahkan setakat jam 8.00 pagi tadi.


Katanya, Serian mencatatkan jumlah tertinggi mangsa yang dipindahkan dengan 742 mangsa daripada 246 keluarga yang ditempatkan  di 11 PPS.

Kelihatan seorang anggota APM ketika melakukan pemantaun situasi semasa banjir di Kampung Tebakang, Serian.

“Seramai 230 mangsa daripada 77 buah keluarga di daerah Simunjan dipindahkan ke empat PPS manakala 51 mangsa lagi ditempatkan di dua PPS di daerah Samarahan.

“Bahagian utara Sarawak juga turut terjejas akibat banjir apabila lapan mangsa daripada dua keluarga dipindahkan ke  PPS Dewan Sukan Tatau, Bintulu sejak semalam,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Hujan lebat yang melanda sejak beberapa hari lalu diramalkan akan berterusan hingga hujung minggu ini.

Justeru, penduduk yang tinggal di kawasan berisiko dinasihatkan sentiasa berwaspada dan bersedia untuk berpindah jika diarahkan untuk berbuat demikian oleh pihak berkuasa. — DayakDaily