16 barang disenarai SHMMP Tahun Baharu Cina 2021

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR, 5 Feb: Sebanyak 16 barangan disenaraikan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2021 yang dikuatkuasakan selama 9 hari bermula 8 Februari hingga 16 Februari nanti.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexender Nanta Linggi berkata skim tersebut dilaksanakan sebagai langkah untuk membendung kenaikan harga barangan keperluan menjelang perayaan berkenaan.

Katanya, kesemua barangan yang disenaraikan itu mendapat permintaan tinggi daripada pengguna pada perayaan berkenaan dan harga barangan tersebut ditentukan bersesuaian dengan trend harga semasa ketika menjelang musim perayaan.

“Penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit berdasarkan kepada maklumat harga dari punca-punca seperti pemantauan harga di semua daerah di seluruh negara sepanjang 2020 dan pada Januari 2021 berdasarkan kepada pungutan harga yang ditetapkan secara mingguan, pandangan pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan iaitu Jabatan Pertanian Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan perbincangan dengan pengeluar, pengimport, pembekal serta pemborong barangan tersebut,” kata beliau.

Barangan keperluan yang disenaraikan dalam SHMMP ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, kubis bulat import, cili merah, tomato, ubi kentang China, bawang putih China, ikan bawal putih, udang putih besar, babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).

Nanta berkata, berdasarkan pengalaman sebelum ini, pelaksanaan SHMMP menerima sambutan serta kerjasama yang baik daripada peniaga dan berharap keadaan itu berterusan.

Katanya, Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Pengguna akan berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasaraya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan berkaitan.

Jelasnya, langkahg terbabit merupakan contoh jelas usaha berterusan kerajaan dalam melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan keuntungan yang berlebihan oleh peniaga-peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan.

Justeru, beliau mengingatkan peniaga supaya tidak menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum dan mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang jika sabit kesalahan boleh didenda mahkamah sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 bagi kesalahan individu.

“Kesalahan sama bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” katanya.

Tambah Nanta, kegagalan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal pula boleh didenda mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5000 bagi kesalahan individu dan denda sehingga RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000 bagi kesalahan syarikat.

Katanya, KPDNHEP telah menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan berkaitan isu harga termasuk mewujudkan Skuad Tindakan Aduan Rakyat (STAR) dalam usaha untuk menangani aduan rakyat dengan lebih berkesan.

“Skim ini akan berjaya sekiranya semua pihak bertanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing,” tambahnya. — DayakDaily