‘Mana janji kerajaan persekutuan untuk bina Jambatan Batang Igan?’

Ahmad Johnie Zawawi

Oleh Dean Adam

KUCHING, Mac 20: Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi hari ini sekali lagi bertanya kepada Kementerian Kerja Raya tentang status terkini pembinaan Jambatan Batang Igan yang telah diluluskan dengan kos RM305 juta.

Jelasnya, sebelum ini jawapan yang beliau terima ialah kerana kerajaan persekutuan menghadapi kekurangan kewangan, maka itu projek pembinaan Jambatan Batang Igan telah ditangguhkan.


“Saya ingin memohon kepada Menteri Kerja Raya, Baru Bian yang berasal daripada Sarawak supaya jambatan ini diberi keutamaan untuk dilaksanakan.

“Ini adalah kerana jambatan ini akan memberi impak sosio-ekonomi yang besar kepada penduduk-penduduk di kawasan saya dan juga penduduk-penduduk di kawasan Mukah,” katanya semasa sesi Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.

Ahmad Johnie menambah, sekiranya kerajaan bercakap tentang hasrat untuk mensejahterakan kehidupan rakyat di luarbandar dan mengangkat taraf ekonomi dan kualiti kehidupan mereka, maka inilah salah satu mekanisme terbaik penyelesaiannya.

Kata beliau, sesungguhnya Jambatan Batang Igan begitu dekat dihati rakyat di kawasan berkenaan.

“Rakyat sudah lama ternanti-nanti agar jambatan ini menjadi kenyataan. Mereka sudah muak dan jemu menunggu feri berjam-jam lamanya.

“Jambatan yang sepatutnya dimulakan pembinaan pada 1 Jan 2017 sehingga kini masih tiada khabar beritanya. Kasihanlah dengan rakyat kita di luar bandar,” katanya lagi. — DayakDaily