Seorang ibu dan anak cemas, kereta di luar rumah terbakar

Pasukan bomba sedang memadam kebakaran melibatkan sebuah kereta.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Mac 20: Seorang ibu dan anaknya cemas apabila kereta yang diparkir di luar rumah di Taman Sri Perkasa tiba-tiba terbakar, hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 1 petang itu mengakibatkan sebuah kereta Perodua Kancil musnah terbakar 100 peratus.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.01 petang.

Jelas beliau, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam.

Kesan kebakaran di tempat kebakaran.

“Sebaik tiba, komander operasi melaporkan sebuah kereta telah terbakar 100 peratus.

“Operasi pemadaman dilakukan menggunakan 2 aliran salur bantu mula dan sumber air dari tangki jentera,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, berdasarkan maklumat saksi, kebakaran bermula dari ruang enjin kereta sebelum ia merebak ke bahagian kenderaan.

Katanya, ketika kejadian seorang wanita berumur 30-an bersama anaknya berumur 6 tahun bertindak berlari keluar rumah untuk menyelamatkan diri.

“Operasi pemadaman itu tamat sepenuhnya pada pukul 1.40 petang,” katanya. — DayakDaily