Teruskan Projek Jelapang Padi Batang Lupar, tegas Rohani

Datuk Seri Rohani Abdul Karim

Chris Bishop

KUCHING, Mac 20: Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato Sri Rohani Abdul Karim berharap kerajaan persekutuan Pakatan Harapan (PH) akan meneruskan Projek Jelapang Padi Batang Lupar.

Menurut Rohani, kawasan Batang Lupar ini merupakan sebuah kawasan yang sangat sesuai untuk projek tersebut serta hab pengeluaran makanan untuk Malaysia.


“Sesungguhnya kawasan saya mempunyai potensi untuk dibangunkan dengan jelapang padi, pengeluaran makanan yang diproses, perikanan dan tanaman buah-buahan seperti nanas, pisang, kelapa dan durian.

“Pada bulan November tahun lalu, beberapa kawasan di Batang Lupar iaitu di Rumah Brodie (L4PL2) dan Kampung Bundong (R5PL1) telahpun melalui proses penanaman benih padi varieti MR269 sebagai permulaan Projek Jelapang Padi Batang Lupar.

“Kerja-kerja penanaman benih padi di kawasan berkenaan merangkumi tanah seluas 24.22 hektar dan bakal dituai dalam masa yang terdekat,” katanya dalam ucapan perbahasannya ke atas ucapan titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada persidangan Parlimen hari ini.

Tambah Rohani, lagi kawasan seluas 42.1 hektar dikatakan masih dalam peringkat proses penanaman, meliputi Kampung Bundong dan Rumah Rokiah (R5PL2), Rumah Brodie (R4PL2, R4PL3), Rumah Jiram (L2PL3), Rumah Entrie dan Rumah Agong (R1PL1) serta Kampung Melayu Tanjung Bijat (R1PL2).

Penanaman padi varieti moden musim pertama ini juga melibatkan 295 petani menggunakan 204 lot sawah seluas 66.32 hektar.

Jelapang Padi Batang Lupar ini katanya bertujuan untuk mempastikan bekalan padi/beras negara tidak akan terjejas atau terputus sekiranya berlaku krisis beras yang pernah kita lalui.

Justeru beliau amat berharap Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi untuk mempastikan projek Jelapang Padi ini diteruskan dan mendapat perhatian serta fokus oleh ketiga -tiga kementerian ini.

Rohani turut memohon agar kerajaan persekutuan melihat inisiatif yang dapat diambil untuk membantu memajukan lagi industri pertanian di Sarawak.

Masih terdapat banyak tanah di Sarawak yang dapat diusahakan bersama dan kerajaan Sarawak juga telah mengenalpasti kawasan untuk tanaman secara komersil iaitu Kawasan Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan ‘food park’ untuk tujuan pengeluaran makanan secara komersil dan besar-besaran dan terbuka kepada peryertaan pelabur sektor swasta. — DayakDaily