Malaysia sasarkan ranking ekonomi 20 negara teratas bagi tahun 2020

Datuk Abdul Latif Abu Seman ( kanan) menyaksikan Datuk Abang Abdul Karim Tun Abang Openg (dua kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil media di Majlis Aspirasi Industri & Media bersama Ahli Lembaga Pengarah MPC, Datuk Abang Abdul Karim Tun Abang Openg semalam.

KUCHING, 13 Feb: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) mensasarkan kedudukan daya saing negara ini ditambahbaik pada kedudukan 20 negara teratas dalam Global Competitiveness Report (GCR) 2020 yang akan dikeluarkan World Economic Forum (WEF) tahun ini.

Ketua Pengarah MPC Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata ini selepas tahun lepas kedudukan Malaysia di tangga ke-27 dari 141 negara dalam laporan GCR 2019 dan jatuh berbanding kedudukan 25 pada 2018 serta 26 pada 2017.

“Kita ingin dalam laporan GCR tahun ini, kalau boleh (kedudukan Malaysia) berada antara 20 negara teratas atau (kedudukan) 1 sehingga 20,” katanya ketika menghadiri Majlis Aspirasi Industri & Media bersama Ahli Lembaga Pengarah MPC Datuk Abang Abdul Karim Tun Abang Openg semalam.


Abdul Latif berkata laporan kedudukan negara dalam GCR dan daya saing global lain penting kerana memang digunakan banyak pelabur bagi melihat samada persekitaran Malaysia kondusif untuk menjalankan perniagaan.

Katanya kedudukan terbabit juga memberikan gambaran kepada mereka sejauh mana mudahnya mendapat lesen perniagaan atau menambah dan mengembangkan pelaburan sekiranya melabur di negara ini.

“Kita juga mensasarkan Malaysia di kedudukan 20 negara teratas tahun ini bagi satu lagi laporan (daya saing negara) iaitu World Competitiveness Yearbook (WCY) 2020,” katanya.

Ini berikutan dalam laporan WCY 2019 diterbitkan Institut Of Management Development (IMD) World Competitiveness Centre di Lausanne, Switzerland mendedahkan kedudukan Malaysia kekal di tangga ke-22 dari keseluruhannya 63 negara dan bertambah baik dari tangga ke 24 pada 2017.

Selain itu, beliau juga mendedahkan pihaknya mensasarkan Malaysia di kedudukan 10 teratas dari 190 negara tersenarai dalam laporan World Bank’s Doing Business Report tahun ini yang mengukur mudahnya menjalankan perniagaan di negara ini.

“Dahulu kita di kedudukan ke-15, tetapi dalam laporan itu yang terkini Oktober tahun lepas mendedahkan Malaysia naik di kedudukan ke 12. Saya ingat kita harus memperbaiki lagi sehingga sekurangnya kita antara 10 negara teratas (tahun ini),” katanya dan yakin sasaran terbabit mampu dicapai sekiranya ada kerjasama semua pihak. —DayakDaily