Makmal Pendidikan STEM tingkat minat pelajar dalam sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik

Pelajar SK Agama MIS menerangkan projek STEM kepada Mohamad Kadim (dua kanan) dan Henry Sum (dua kiri).

LAWAS, Nov 22: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) baru-baru ini telah berkunjung ke Sekolah Kebangsaan (SK) Agama (MIS) di sini untuk penyerahan Makmal Pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).

Penyerahan Makmal Pendidikan STEM tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor Unimas, Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi.

Menurut kenyataan media UNIMAS hari ini, pihak universiti tersebut telah menyediakan fasiliti lengkap bagi makmal berkenaan dengan kos kira-kira RM125,000.


Kata kenyataan sama, sana Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berkenaan telah disumbangkan oleh imbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari.

“Makmal Pendidikan STEM berkenaan merupakan satu usahasama kerajaan negeri Sarawak dengan Unimas bertujuan untuk meningkatkan peratusan pelajar dalam jurusan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

“Ia difokuskan seawalnya kepada pelajar-pelajar sekolah rendah dan ia juga merupakan satu usaha UNIMAS untuk bersama komuniti,” kata kenyataan media Unimas, hari ini.

Gambar kenangan rombongan Unimas bersama pelajar dan guru SK Agama MIS.

Sementara itu, dalam ucapan perasmian, Dr Mohamad Kadim berharap usaha Unimas ini akan meningkatkan minat pelajar dalam pengajian bidang STEM.

Katanya, ia sekali gus meningkatkan kepakaran dalam bidang STEM di Sarawak khasnya dan Malaysia amnya.

“Kita harus memberi peluang kepada pelajar untuk membiasakan diri dengan perkembangan sains dan teknologi dalam menghadapi era baharu kelak,” katanya.

Majlis sama turut dihadiri Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong dan Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Abang Mat Ali Abang Masagus. — DayakDaily