Majikan swasta digalakkan mengambil bekas banduan sebagai pekerja

Zulkifli (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada kakitangan Jabatan Penjara Negeri Sarawak di Pejabat Pengarah Penjara Negeri Sarawak, Jalan Puncak Borneo, Kuching.

SIBURAN, April 2: Jabatan Penjara Malaysia menyeru lebih ramai majikan swasta di negeri ini yang kekurangan pekerja menyertai program Latihan Pintar Koperat Bagi Parol (CSI Parol) tahun ini bagi membolehkan mereka melatih dan mengambil bekas banduan yang menjadi Orang Di Parol (ODP) sebagai pekerja.

Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Dato Sri Zulkifli Omar berkata program itu yang bermula tahun lepas telah mendapat sambutan mengalakkan sehingga seramai 565 ODP dari penjara seluruh negara telah mengikuti program CSI Parol bersama 12 majikan swasta termasuk Felcra Berhad Wilayah Timur, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Lypometal Sdn Bhd dan Poultry & Meat Sdn Bhd.

“Usaha ini juga diterokai Jabatan Penjara Sarawak dengan seramai 50 ODP (dari penjara di negeri ini) berjaya menjalani CSI Parol bersama syarikat Farley di Bintulu. Setakat ini seramai 18 ODP sedang bekerja dengan syarikat berkenaan,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Penjara Ke-228 Peringkat Negeri Sarawak, Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Penyampaian Watikah Pelantikan Lembaga Pelawat Negeri Sarawak di Auditorium Sri Sarawak, Pejabat Pengarah Penjara Negeri Sarawak, KM23, Jalan Puncak Borneo, Siburan, di sini, hari ini.

Di majlis tersebut seramai 91 kakitangan penjara negeri ini menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang manakala seramai 36 kakitangan terbabit menerima pingat dan sijil kepujian. Majlis itu juga dihadiri Pengarah Penjara Sarawak, Ajidin Salleh.

Zulkifli berkata bagi meneruskan program itu tahun ini, satu majlis menandatangani Prosedur Operasi Piawai CSI Parol dengan syarikat Farley di Bintulu juga telah diadakan dan dirasmikan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Sri Tiong King Sing, di Auditorium Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) pada Mac 14 lepas.

Beliau berkata bagi tahun ini pihaknya mensasarkan sekurangnya seramai 300 bekas banduan yang menjadi ODP dari penjara seluruh negara ini akan menyertai program terbabit dan berharap lebih ramai majikan akan menyertainya.

“Saya menyeru agar majikan di luar sana termasuk di negeri ini supaya mengambil tanggungjawab untuk sama-sama membantu bekas penghuni (penjara), dengan menawarkan peluang pekerjaan (kepada mereka),” katanya.

Disamping itu, beliau juga mendedahkan yang Sarawak ketika ini mempunyai kadar residivis atau banduan yang berulang memasuki penjara yang sangat rendah malahan yang terendah berbanding negeri lain.

Mengikut statistik diberikan jabatan itu, setakat bulan ini terdapat seramai 2,468 banduan yang sedang menghuni sebanyak enam penjara di seluruh negeri ini dan hanya seramai 49 banduan terbabit adalah residivis. — DayakDaily