Lokan Sarawak setanding oyster, dibakar atau direbus tetap enak

Isi lokan Sarawak yang seenak oyster
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 23 Jan: Ramai menggemarinya, ada juga tidak berani untuk merasainya kerana habitatnya di kawasan berlumpur.

Namun itulah Lokan Sarawak, makanan eksotik seenak makanan laut oyster yang dihidangkan di restauran.

Advertisement

Bagi penggemar lokan, ia adalah satu hidangan yang harus dinikmati jika ada di depan mata.

Cara masakannya mudah, samada lokan dibakar atau direbus dan dinikmati dengan cecahan pada campuran cili, limau dan kicap.

Pengunjung setia Remin Asuh, pesara guru Isai Raja menunjukan lokan bakar yang sedia dimakan.

Seorang pembekal lokan, Ketua Kaum Stella di Sungai Belian Rambungan di Lundu berkata, untuk mendapatkan lokan bukanlah sesuatu yang mudah.

“Ini adalah kerana cara kehidupan lokan itu sendiri yang gemar menyembunyikan diri di dalam tanah lumpur atau pasir di tebing sungai.

“Proses mengambilnya hanya boleh dilakukan sewaktu air surut dan hanya mereka yang pakar sahaja boleh mendapatkannya dengan mudah melalui kaedah mencungkilnya dengan kayu daripada cengkaman pasir atau lumpur,” kata Stella.

Menurut beliau, harga lokan dari Sungai Belian mencecah sehingga RM20 sekilogram iaitu anggaran 20 lokan bergantung kepada saiz.

Katanya, menjual lokan tidaklah susah kerana ia sentiasa memiliki permintaan dari setiap lapisan masyarakat.

“Disebabkan rasanya yang enak maka harga bukanlah satu persoalan.

“Namun harga kita juga berpatutan kerana untuk mendapatkannya tidak mudah,” jelas Stella.

Lokan dibakar dengan meletakkannya diatas bahang arang kayu.

DayakDaily baru-baru ini berkesempatan menikmati lokan yang dihidang secara rebus dan bakar di Remin Asuh di sini.

Lebih 60 lokan dari Sungai Belian dihidang kepada pengunjung dan rata-ratanya berpuas hati dengan memberi komen ‘enak’ terhadap rasanya.

“Dibakar pun sedap, direbus pun sedap, lokan ini mudah serta cepat disediakan.

“Paling penting ia mesti dicecah pada sambal campuran cili, limau, kicap dan mungkin tabasco,” kata pengunjung. — DayakDaily

Advertisement