Lio Mato gelanggang pertempuran pemburu kepala

Tingang ketika ditemui di rumah beliau di Lio Mato.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

ULU BARAM, 25 Mac: Pertempuran ‘kayau’ antara sub etnik Orang Ulu kerap berlaku di sekitar Lio Mato di Ulu Baram pada zaman penjajahan British.

Menurut seorang penduduk Lio Mato Tingang Gelung, 50, Lio Mato ketika itu adalah satu kawasan liar serta bahaya.

Advertisement

“Lio Mato ketika itu memang gelanggang pemburu kepala, pertempuran kayau berlaku dimana-mana sahaja di sini.

“Pertempuran adalah diantara sesama suku kaum Orang Ulu sendiri,” katanya ketika ditemui DayakDaily di Lio Mato pada semalam.

Menurut Tingang, suasana liar di Lio Mato hanya terkawal setelah British membina sebuah kubu pada sekitar 1930-an berhampiran Sungai Baram di Lio Mato.

Katanya yang berbangsa Kenyah Badeng, kubu tersebut seterusnya diberi nama Kubu Lio Mato.

Menurut cerita nenek moyang ujarnya lagi, dengan terbina kubu tersebut, pertempuran kayau di Lio Mato tidak berlaku lagi.

Tambah Tingang, kerajaan British pada masa itu telah mengarahkan suku kaum Kenyah Baadeng dari Silat di Long Makabah untuk menjaga serta mempertahankan kubu Lio Mato dari sebarang ancaman.

“Justeru nenek moyang saya dari Silat telah berpindah ke Lio Mato.

“Pada mulanya hanya 6 keluarga yang berpindah dan diikuti oleh keluarga lain secara berperingkat.

“Setelah itu, tiada lagi pertempuran kayau berlaku di Lio Mato,” katanya.

Jelas Tingang, ketua-ketua suku kaum telah bertemu di Kubu Lio Mato dan seterusnya bersetuju untuk berdamai dan menamatkan pertempuran kayau. — DayakDaily

Jalan utama ke Kampung Lio Mato pada masa ini.
Advertisement