Limbang disambung ke Grid Utama Elektrik pada 2025 — Julaihi

Datuk Julaihi Narawi. — Photo credit: Sarawak Public Communications Unit (Ukas)

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 22 Mei: Sambungan talian penghantaran ke Grid Utama bekalan elektrik dari Miri ke Daerah Limbang dan Daerah Lawas dijangka siap pada tahun 2025.

Justeru kata Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi, Bahagian Limbang kini belum lagi siap disambung ke Grid Utama.


Katanya, sambungan talian penghantaran ke Grid Utama adalah di bawah projek Northern Grid Extension.

“Setakat ini, penjanaan bekalan ke Bahagian Limbang adalah daripada 18 genset dengan jumlah kapasiti penjanaan 26.5MW di Pekan Limbang.

“Manakala 11 genset dengan jumlah kapasiti penjanaan 14.4 MW di Pekan Lawas,” katanya dalam ucapan penggulungan kementerian di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Tambah Julaihi, tiga genset dengan kapasiti 3MW akan dihantar ke Daerah Lawas pada bulan depan sementara menunggu projek sambungan ke Grid Utama siap.

Ia bagi memastikan kapasiti penjanaan yang mencukupi dan menambah baik prestasi bekalan di Daerah Lawas.

Dalam pada itu, Julaihi memaklumkan bahawa liputan bekalan elektrik luar bandar di seluruh Sarawak setakat ini adalah 97.9 peratus.

Ujarnya, kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM2.37 bilion untuk melaksanakan projek bekalan elektrik di luar bandar melibatkan 188 buah projek.

“Sehingga kini, 116 buah projek daripada jumlah keseluruhan projek tersebut telah disiapkan.

“Manakala 69 buah projek sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan, dan tiga buah projek lagi dalam peringkat tender.

“Semua projek ini memberi manfaat kepada 29,500 isi rumah,” kata Julaihi. — DayakDaily