Lima persatuan etnik sokong Daerah Belaga dinaik taraf kepada Bahagian

An aerial view of Bakun Dam.

KUCHING, 19 Mei: Lima persatuan etnik di kawasan Belaga menyokong penuh usaha menaik taraf daerah tersebut sebagai Bahagian.

Menerusi satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, semua pemimpin persatuan etnik ini berkata, terdapat kesedaran tinggi masyarakat luar bandar yang mengimpikan satu pembangunan mampan dan menyeluruh berlaku di Belaga yang selari dengan pembangunan bandar.

ā€œKami menyokong usaha Adun Belaga Datuk Liwan Lagang yang mana beliau telah menyerahkan kertas kerja kepada ketua menteri dan pihak yang terlibat untuk proses seterusnya.


ā€œBeliau (Liwan) juga telah menyampaikan ucapan tersebut di hadapan ketua menteri pada lawatan kerja ketua menteri ke Belaga pada 17 Oktober 2020,ā€ kata mereka.

Lima persatuan tersebut ialah Persatuan Komuniti Etnik Kajang Sarawak (PKEKS), Persatuan Bangsa Kejaman Sarawak (PBKS), Persatuan Lahanan Sarawak (PLAS), Persatuan Kebangsaan Punan (PNA) dan Persatuan Bangsa Sekapan Belaga.

PKEKS diwakili setiausaha agung Micheal Belekum, manakala Ekot Ejui mewakili PBKS, Bilong Siting (PLAS), Daniel Batin (PNA) dan Erick Drenner Dangan (Persatuan Bangsa Sekapan Belaga).

Micheal Belekum
Erick Drenner Dangan

Menurut kenyataan itu lagi, masyarakat luar bandar (Belaga) menginginkan keadilan dari segi kesejahteraan hidup yang setimpal dengan hasil bumi tempatan setaraf dengan daerah-daerah lain di negeri ini.

Katanya, 30 tahun lepas generasi muda Daerah Belaga dijanjikan dengan pembangunan dengan terbinanya Empangan Bakun.

ā€œDengan harapan daerah Belaga menjadi bandar tenaga kerana telah menyumbangkan tenaga 2,400 MW, namun di sebaliknya bekalan elektrik 24 jam pun tidak dirasai oleh komuniti tempatan.

ā€œMalah empangan kedua daerah Belaga iaitu Empangan Murum juga telah dibina yang menjana tenaga elektrik 944 MW,ā€ kata mereka.

Tambah mereka lagi, saiz empangan yang seluas negara Singapura adalah lambang pengorbanan masyarakat bagi memberi laluan kepada pembangunan ini.

Maka tidak mustahil kesedaran terhadap pembangunan telah lama tertanam di setiap sanubari masyarakat tempatan.

Kenyataan bersama itu juga menjelaskan bahawa amatlah sukar untuk membangunkan Belaga dengan hanya mengharapkan peruntukan MRP daripada dua Adun kerana populasi dan demografi yang hampir 20,000kmĀ².

ā€œMaka itu, adalah harapan dan langkah terbaik untuk membangun daerah Belaga adalah dengan menaiktaraf menjadi Bahagian.

ā€œDengan itu, peruntukan pembangunan tahunan kerajaan akan terus sampai ke pelusuk komuniti luar bandar,ā€ kata mereka lagi.

Jika permintaan menjadi kenyataan, ujar mereka, ia adalah satu penghargaan tinggi kepada etnik minoriti seperti Lahanan, Sekapan, Kejaman, Punan dan masyarakat Kajang keseluruhan yang merupakan orang asal di kawasan Ulu Sungai Rajang.

ā€œKami rela berkorban harta, tempat kediaman, tanah, keindahan sungai untuk memberi laluan kepada Empangan Bakun dan Murum, demi untuk pembangunan negara amnya dan Sarawak khasnya,ā€ kata mereka. ā€” DayakDaily