Lima pemimpin SUPP Dudong yang membuat kenyataan terbuka mungkin dikenakan tindakan disiplin

Dr Sim (tiga dari kiri) bersama pemimpin-pemimpin SUPP memotong kek sempena ulang tahun ke-59 SUPP di ibu pejabat parti itu.

KUCHING, Jun 4: Lima pemimpin Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Dudong mungkin berdepan tindakan disiplin di atas tindakan mereka, yang membuat kenyataan terbuka menggesa perletakan jawatan setiausaha agung parti itu, Datuk Sebastian Ting.

Presiden SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian berkata parti itu memandang serius isu berkenaan, yang boleh menyebabkan pergolakan di kalangan ahli parti lebih-lebih lagi selepas mengalami kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Bagaimanapun, katanya setakat ini, parti belum lagi membincangkan mengenai tindakan disiplin yang akan dikenakan ke atas mereka.


“Isu dalaman parti tidak seharusnya dibawa kepada umum kerana ini akan menambahkan lagi pergolakan di kalangan ahli.

“Setiap ahli sepatutnya memikirkan apa yang dapat dilakukan untuk rakyat dan negeri, bukannya untuk diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena ulang tahun ke-59 SUPP di ibu pejabat parti itu, di sini.

Terdahulu, Sim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan turut menyatakan amat kesal tindakan lima pemimpin SUPP Dudong itu.

Beliau menyifatkan ia adalah tindakan tidak berdisiplin kesemua lima pemimpin berkenaan, yang jelas menunjukkan mereka lebih mementingkan kepentingan diri daripada parti.

“Saya telah berjumpa dengan mereka di Sibu tetapi mereka tidak berkata apa-apa, sebaliknya ‘bercakap’ menerusi akhbar,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Sim mengingatkan semua ahli SUPP supaya kekal bersatu dan berpegang dengan perjuangan parti iaitu mengutamakan kepentingan negeri dan rakyat. — DayakDaily