Lima operator ‘bookie’ Euro 2020 ditangkap di Kuching

Pegawai polis sedang menjalankan siasatan di premis yang diserbu.

KUCHING, 9 Julai: Lima lelaki dipercayai operator ‘bookie’ Euro 2020 ditangkap dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah di perumahan mewah di Jalan Stutong, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kesemua suspek berusia 17 hingga 25 tahun dan merupakan warga tempatan.

Jelasnya, hasil serbuan sekitar jam 12.45 tengah hari itu mendapati premis juga menjalankan kegiatan judi dalam talian.


Dedah Ahsmon, sindiket yang berselindung di premis mewah tersebut telah memperolehi keuntungan sekitar RM40,000 sejak Euro 2020 bermula pertengahan Jun lalu.

Untuk kegiatan judi dalam talian pula, didapati sindiket ini memperolehi keuntungan kira-kira RM60,000 sebulan.

Kesemua suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200,000 dan penjara tidak lebih lima tahun.

Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 hingga RM50,000.

PDRM juga akan melaksanakan pemotongan bekalan elektrik di setiap premis yang telah diserbu di samping tindakan di bawah undang-undang pencegahan jenayah (POCA). — DayakDaily