Lima lelaki warga tempatan mengubahsuai 4WD, seludup diesel bernilai RM383,238 di Miri

Disyaki cuba seludup diesel, lima lelaki warga tempatan ditahan bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda yang telah dibuah suai pada tangkinya.

Brad Rantayy
MIRI, 3 Okt : Taktik lima lelaki warga tempatan yang bertindak mengubahsuai tangki minyak sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) untuk menyeludup diesel bersubsidi tumpas apabila mereka ditahan anggota Cawangan Risikan Batalion 12 Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri pagi tadi sekitar jam 10.30.
“Jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM 383,238,” jelas Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu dalam satu kenyataan medianya sebentar tadi.
Tambahnya, kelima -lima suspek berusia 19 sehingga 50 tahun itu ditahan di sebuah stesen Petronas di kawasan Bintulu-Miri Airport kerana disyaki terbabit di dalam aktiviti mencuri minyak diesel bersubsidi.
Hasil pemeriksaan lanjut ke atas lima suspek dan kenderaan tersebut mendapati tangki minyak kenderaan tersebut telah diubahsuai.
Selain itu juga, kesemua suspek telah gagal untuk mengemukakan permit khas dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) untuk menjalankan aktiviti berkenaan.
Kesemua barangan kes telah diserahkan kepada KDNHEP untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Dalam pada itu, pihak Polis menasihatkan orang ramai untuk tidak terlibat atau bersubahat dalam aktiviti mencuri diesel bersubsidi.
Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan ini dan orang awam dinasihatkan untuk mendapatkan bekalan minyak daripada pengedar yang sah dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada pihak Polis. — DayakDaily