Lima laporan terbaharu berhubung kes Macau Scam diterima, semua pengadu tidak terpedaya

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

– Dean Adam

KUCHING, Okt 8: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak semalam menerima lima laporan terbaharu mengenai kes Macau Scam yang berlaku di seluruh negeri ini.

Ketuanya, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, bagaimanapun, berdasarkan laporan diterima, kesemua mangsa tidak terpedaya dengan sindiket penipuan berkenaan.

Jelasnya, lima laporan kes tersebut diterima di daerah Bintulu termasuk masing-masing dua kes di Sarikei dan Mukah.

“Berdasarkan kes pertama, seorang pemandu berusia 44 tahun berjaya mengelak daripada ditipu oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai polis.

“Lelaki berkenaan menerima panggilan kononnya dari Balai Polis Shah Alam dan mengatakan pengadu telah terlibat dalam kes langgar lari di Sabah sebelum meminta nama dan kad pengenalan pengadu.

“Kemudian pengadu telah terfikir berkenaan kes tipu yang di ‘viral’ atau tular dalam media massa dan pengadu telah mematikan talian, tiada kerugian dialaminya,” katanya di sini hari ini.

Manakala kes kedua kata Mustafa, melibatkan seorang wanita berusia 44 tahun yang telah dihubungi oleh orang yang tidak dikenali menggunakan telefon rumah pengadu di Sarikei.

Katanya, individu terbabit kemudian memperkenalkan diri sebagai ‘Mr Ong’ dan panggilan dibuat dari Mahkamah Terengganu.

“Suspek seterusnya memberitahu pengadu bahawa Syarikat Tai Hong Trading Company yang didaftarkan atas nama pengadu telah disenarai hitam kerana gagal membayar cukai GST berjumlah RM85,700.

“Kemudian suspek juga beritahu bahawa pada tarikh 7 Oktober 2018 merupakan tarikh akhir bagi sebutan kes syarikat tersebut. Pengadu kemudian menafikan terlibat dalam kes tersebut dan tiada sebarang kerugian dialami,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu kes ketiga juga berlaku Sarikei iaitu melibatkan pegawai kesihatan daerah berusia 38 tahun yang menerima panggilan daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai dari Mahkamah Terengganu.

Katanya, suspek telah memaklumkan nama pengadu telah didaftar untuk membuka sebuah syarikat bernama Sri Maju di Terengganu dan mempunyai hutang tunggakan cukai GST berpuluh ribu.

“Pengadu kemudian menafikan terlibat dalam kes berkenaan sebelum menamatkan perbualan dengan suspek,” ujarnya.

Kes empat ujar Mustafa berlaku di Mukah membabitkan seorang wanita yang bekerja sebagai pegawai kesihatan daerah telah dihubungi oleh suspek yang menyamar sebagai anggota polis dari Cawangan Trafik Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Ujarnya, suspek telah mendakwa pengadu telah terlibat dalam kes saman trafik berhubung kes langgar lari, namun pengadu menafikan terlibat dalam kes itu sebelum mematikan panggilan berkenaan.

“Kes kelima pula melibatkan seorang penyelia ladang berusia 33 tahun yang menerima panggilan dari suspek kononnya dari IPD Pulau Pinang telah mengugut untuk menangkap pengadu sekiranya tidak menyerahkan diri berhubung kesalahan trafik.

“Pengadu kemudian menafikan terlibat dalam kes trafik tersebut dan tiada kerugian dialami,” jelasnya. — DayakDaily