64 dikompaun RM104,500 gara-gara berhibur lebih masa di Kuching

Pelanggan dikompaun RM1,500 seorang, manakala pemilik premis dikompuan RM10,000.

KUCHING, 29 Sept: Seramai 64 orang dikompaun RM104,500 keseluruhannya selepas didapati berhibur lebih masa di sebuah premis hiburan di Jalan Carpenter, di sini lewat malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kesemua yang dikompaun terdiri daripada 44 lelaki, 20 wanita dan seorang daripadanya merupakan pemilik premis.

Katanya, serbuan dilakukan Pasukan Khas Pemeriksaan Pematuhan SOP PKP diketuai ASP Ahmad Abang pada jam 12.15 tengah malam.


“Mereka telah melakukan kesalahan dibawah Peraturan 17 (1) PPPPB (LLDKTJ) (PPN) 2021 kerana tidak mematuhi SOP iaitu premis beroperasi lebih masa dan pengunjung tidak mengamalkan penjarakan sosial.

“Setiap seorang pelanggan telah dikompaun RM1,500, manakala pemilik premis dikompaun RM10,000 menjadikan jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM104,500,” katanya.

Tegas beliau juga, operasi akan dilipatgandakan dalam usaha memerangi wabak Covid-19. — DayakDaily