Lima jalan ditutup sempena Majlis Perasmian ‘Musical Fountain’ hari ini

Poster acara Majlis Perasmian 'Musical Fountain' yang akan diadakan bersempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-82 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang disiarkan di laman Facebook DBKU.

KUCHING, Okt 14: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) meminta orang ramai yang ke pusat bandaraya ini untuk mengelakkan melalui lima jalan yang akan ditutup mulai jam 3 petang hari ini.

Unit Perhubungan Awam DBKU mengumumkan yang jalan terbabit ialah Jalan Market, Jalan Gambier, Jalan Main Bazaar, Jalan Tun Abang Haji Openg dan Jalan Pearl.

“Adalah dimaklumkan jalan-jalan berikut akan ditutup semasa Majlis Perasmian ‘Musical Fountain’ yang akan diadakan pada Oktober 14, 2018 (Ahad) bersempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-82 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak,” menurut kenyataan media unit tersebut.


Bagi mengelakkan kesesakan lalulintas dan membantu kelancaran majlis, DBKU menasihatkan orang awam untuk menggunakan jalan alternatif dan juga berkata kerjasama dari semua pihak amatlah dihargai.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib dijangka menghadiri majlis terbabit di Square Tower, Tebingan Sungai Sarawak,di sini, mulai jam 8 malam ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg juga dijangka menghadiri majlis terbabit dan memberikan ucapan. DBKU menjemput warga bandaraya ini menghadiri majlis tersebut. — DayakDaily