Lima buah rumah kayu setinggan di Pujut Corner musnah dalam kebakaran

Api marak memusnahkan lima buah rumah kayu setinggan Pujut Corner.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 25 Mei: 10 mangsa hilang tempat tinggal selepas lima rumah setinggan di Jalan Pujut Corner ranap musnah dalam satu kejadian kebakaran malam tadi (Rabu).

Walaubagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.


Menurut jurucakap Bomba Miri Awang Mohd Hazmin Awang Zainal, dua jentera Bomba dari Balai Lopeng dan Miri Sentral bersama anggota dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian jam 11.30 malam tadi.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, api sedang membakar lima buah rumah tersebut,” ujarnya.

Katanya, penghuni salah satu kediaman yang terlibat tiada di tempat kejadian kerana sudah balik ke kampung.

Mengulas lanjut, Awang Mohd Hazmin berkata, pihaknya berjaya mengawal api daripada merebak dan operasi selesai sepenuhnya pada jam 2.50 pagi tadi.

Punca kejadian masih dalam siasatan.

Turut hadir ke lokasi kejadian beberapa angota Angkatan Pertahanan Awam, Polis dan kakitangan Sarawak Energy Berhad (SEB). — DayakDaily