Lelaki warga emas maut tersepit di bawah Hilux

Pasukan Bomba mengeluarkan mangsa.

MARUDI, 9 Sept: Seorang lelaki warga emas disahkan meninggal dunia dipercayai akibat dihempap kereta yang sedang dibaikinya di tepi jalan Rumah Panjang Kampung Melikat, di sini semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 6.10 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba Marudi terus ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai.

“Setiba di tempat kejadian mendapati ada seorang mangsa tersepit di bawah sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux SR.

“Pasukan Bomba terus mengaplikasikan kaedah SAVER dan Size up di lokasi untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian tayar,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mangsa bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian dan seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Difahamkan mangsa dikenali sebagai James Chas Gerok dan berusia 69 tahun.

Punca kejadian masih dalam siasatan polis. — DayakDaily