Lelaki warga emas maut, tersepit bawah pikap di Batu Niah

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Advertisement

MIRI, 22 Jun: Seorang lelaki warga emas meninggal dunia akibat tersepit di bawah sebuah pikap yang terbabas lalu terbalik di Ladang Ulu Kelabak, Batu Niah semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa dikenali sebagai Enchana Langi berusia 60 tahun dan berasal dari Rumah Tinggang Sungai Keleku.

Jelasnya, mangsa semasa kejadian bersama tiga lagi penumpang berada di belakang ‘bucket’ pikap tersebut yang bergerak dari arah Rumah Tinggang pada jam 7.10 pagi.

Advertisement

“Apabila sampai di tempat kejadian, semasa menuruni bukit di kawasan ladang tersebut, pikap telah terbabas dan melanggar dinding tanah lalu terbalik dan menyebabkan mangsa yang duduk di ‘bucket’ terjatuh dan tersepit dengan kenderaan.

“Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, empat lagi penumpang termasuk penumpang hadapan serta pemandu pikap dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca oleh brek kenderaan yang tidak berfungsi dengan baik, namun siasatan masih dijalankan,” katanya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, beberapa anggota dari Balai Bomba Batu Niah turut dikejarkan ke lokasi untuk membantu mengalihkan mayat mangsa dari bawah pikap tersebut.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Miri untuk tindakan lanjut. — DayakDaily

Advertisement