Lelaki warga emas maut, motosikal dirempuh kereta

Keadaan di lokasi kejadian.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Mac 29: Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta di Jalan Durian Burung di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 6.15 pagi itu mengakibatkan mangsa, Chong Kui Hin, 67, disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah yang dialaminya.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu, berkata sebelum kejadian itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda C100 dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah pusat bandar raya ke arah Jalan Airport di sini.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian motosikal mangsa dikatakan telah dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta jenis BMW.

“Impak itu mengakibatkan mangsa terpelanting ke bahu kiri jalan dan mengalami kecederaan parah. Pemandu kereta itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Kelihatan kesan rempuhan motosikal mangsa.

Alexson menambah, petugas perubatan yang tiba di lokasi kejadian kemudian mengesahkan kematian mangsa.

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily