Lelaki warga emas maut dalam kemalangan

Kelihatan keadaan motosikal mangsa selepas kemalangan.
Advertisement

KUCHING, Sept 21: Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditunggang merempuh pembahagi jalan di Bulatan DBKU, Jalan Samariang di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.55 pagi itu, mangsa, Abdul Kadir Bujang, 57, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan dari Hospital Umum Sarawak.

Difahamkan mangsa bekerja sebagai pencuci kenderaan di sebuah premis mencuci kenderaan di bandar raya ini.

Advertisement

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu, berkata sebelum kejadian, mangsa yang berasal dari Kampung Semariang Tanah Merah dikatakan sedang dalam perjalanan ke pusat bandar raya di sini.

Menurutnya, apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal Yamaha Ego yang ditunggangi dikatakan hilang kawalan lalu terbabas sebelum dia tercampak dari motosikalnya.

“Kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan,” katanya di sini hari ini.

Alexson menambah, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut.

Katanya, pihak polis sudah ke lokasi kejadian untuk melakukan siasatan selanjutnya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily

Advertisement