Lelaki warga emas hilang ditemui selamat di kawasan sawah

Mangsa dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

PADAWAN, Jan 18: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas tidak balik ke rumah di Kampung Chupak, Jalan Padawan di sini semalam berjaya ditemui dalam keadaan selamat hari ini.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, mangsa, Nisong Sugas, 56, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 8.05 pagi.

Katanya, pasukan SAR menemui mangsa yang dikatakan mengalami masalah kesihatan di kawasan sebuah sawah di kampung tersebut dalam keadaan lemah.


“Sejurus menemui mangsa, pasukan bomba kemudian memberikan makanan serta minuman kepada lelaki tersebut.

“Dia kemudian diberikan rawatan sebelum dibawa balik ke kampung tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiong menambah, sebaik tiba di kampung, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Serian untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Operasi SAR yang memasuki hari kedua itu ditamatkan pada pukul 8.45 pagi,” ujarnya lagi. — DayakDaily