Suspek tetak adik sendiri diberkas

Suspek (tengah) diberkas oleh anggota polis.

KUCHING, Jan 17: Seorang lelaki yang menetak adiknya dalam satu kejadian pergaduhan di Kampung Rampangi pada Ahad lalu berjaya ditahan hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata, suspek berusia 48 tahun itu diberkas sepasukan anggota polis di kampung tersebut pada pukul 10.40 pagi.

Menurut beliau, tangkapan itu dilakukan oleh pasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.


“Hasil ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah, namun dia memiliki rekod jenayah lampau.

“Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam satu kejadian pergaduhan pada Ahad lalu, seorang lelaki iaitu adik kepada suspek telah cedera ditetak dengan senjata tajam.

Kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu mengakibatkan mangsa yang berusia 39 tahun cedera di lutut kiri dan bahagian kiri kepala. — DayakDaily