Lelaki warga emas maut dalam kemalangan di Bau

Mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

BAU, 31 Jan: Seorang penunggang motosikal disahkan meninggal dunia dalam kemalangan babitkan tiga buah kenderaan berdekatan Kampung Kranji, Jakan Kuching-Bau, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 8.02 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau telah dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Setibanya di lokasi kejadian, didapati benar berlaku kemalangan melibatkan sebuah Perodua Viva, motosikal dan lori.

“Terdapat seorang mangsa iaitu penunggang motosikal terbaring di atas jalan raya dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak ambulans dari Hospital Bau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat lelaki berusia 73 tahun itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Tiada operasi penyelamatan dilakukan pihak bomba kerana tiada mangsa tersepit,” katanya.

Pasukan bomba kemudian bertolak balik ke balai selepas memastikan keadaan di lokasi kejadian telah selamat sepenuhnya. — DayakDaily