Lelaki warga emas dilaporkan hilang ditemui selamat

Kelihatan anggota bomba membantu mangsa yang ditemui selamat.
Advertisement

LIMBANG, Julai 27: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas masuk ke hutan Kampung Pangkalan Rejab berjaya ditemui dalam keadaan selamat lewat petang tadi.

Mangsa, Timbang Sarail, 70, ditemui selamat oleh penduduk kampung kira-kira pukul 6.15 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang, Tawang Lingem, berkata pihaknya menerima maklumat bahawa lelaki dari golongan Orang Kurang Upaya (OKU) telah dijumpai selamat di tebing sungai berhampiran kampung berkenaan.

Advertisement

Katanya, semasa ditemui mangsa dilaporkan dalam keadaan sedar, namun agak lemah disebabkan tiada makan dan minum.

“Operasi mencari dan menyelamat mangsa ditamatkan sepenuhnya pada pukul 7 malam,” katanya di sini hari ini.

DayakDaily sebelum ini melaporkan mangsa dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumahnya setelah masuk ke kawasan hutan di Kampung Pangkalan Rejab di sini.

Sejurus menerima laporan itu, sepasukan tujuh anggota bomba kemudian diarahkan ke lokasi untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang mengalami masalah pekak dan bisu berkenaan.

Sebelum itu, ketua kampung tersebut, Drahman Bakar datang sendiri ke BBP Limbang membuat laporan kehilangan mangsa.

Operasi SAR mula dilakukan pada pukul 9.30 pagi dengan teknik pencarian di permukaan sungai dengan menggunakan bot bomba dengan dibantu penduduk kampung.

Sebelum ini pernah dilaporkan hilang beberapa kali, namun akan dijumpai di sekitar tebingan sungai di hutan berdekatan. — DayakDaily

Advertisement