Lelaki warga emas cedera, terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Durin, Sibu

Keadaan kereta mangsa selepas kemalangan tersebut.

SIBU, 18 Jan: Seorang lelaki warga emas tersepit di dalam keretanya selepas berlanggar dengan sebuah lori berhampiran Jambatan Durin, Jalan Sibu-Durin semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kemalangan dilaporkan berlaku pada jam 8.15 malam dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi, komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Wira dan sebuah lori berhampiran Jambatan Durin.


“Pemandu kereta iaitu seorang lelaki berusia 68 tahun tersepit dan telah berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya mangsa yang mengalami kecederaan telah diberikan rawatan awal sebelum dikejarkan ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

Manakala pemandu lori dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Operasi tamat pada jam 8.52 malam. — DayakDaily