Bomba bantu lelaki tersepit dalam Wira terbalik di Samarahan

Mangsa diberikan rawatan awal sebelum diserahkan kepada pihak ambulan.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, 18 Jan: Sebuah kereta jenis Proton Wira dilaporkan terbalik sehingga menyebabkan pemandunya tersepit dalam kemalangan kendiri di Jalan Samarahan Bypass hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kemalangan tersebut dilaporkan berlaku pada jam 2.08 pagi dan beberapa anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Bomba menerima panggilan dari MERS 999, maklum kemalangan melibatkan sebuah kereta terbalik dan masuk ke dalam parit menyebabkan seorang mangsa tersepit.
“Setiba di lokasi, komander melaporkan kemalangan kendiri melibatkan sebuah Proton Wira dan anggota kemudian bertindak mengeluarkan mangsa tersepit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, mangsa yang didapati mengalami kecederaan di leher telah diberikan rawatan awal.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak ambulan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Operasi tamat pada jam 2.55 pagi. — DayakDaily