Lelaki miliki sembilan rekod jenayah lampau, ditangkap disyaki terlibat samun warga emas

Pasukan polis melakukan siasatan terhadap suspek.

KUCHING, 10 Sept: Lelaki memiliki sembilan rekod jenayah lampau ditangkap polis disyaki terlibat kes samun seorang warga emas semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata suspek,31 tahun itu ditangkap di Jalan Nanas Barat sekitar jam 2.45 petang.

Katanya, tangkapan suspek dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak selepas laporan polis dibuat oleh mangsa berusia 70 tahun.


“Suspek ditangkap bersabit kes seorang lelaki warga emas disamin oleh suspek dua lelaki bersenjatakan pisau pada jam 5.30 pagi di Jalan Sungai Maong Kiri.

“Mangsa ketika kejadian berjalan kaki seorang diri untuk ke pasar.

“Kerugian yang dialami mangsa RM150 iaitu wang tunai yang telah dilarikan suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya juga, mangsa turut mengalami kecederaan di tangan dan kaki akibat bergelut dengan salah seorang suspek.

“Mangsa kemudian diberikan rawatan pesakit luar di Hospital Umum Sarawak,” katanya.

Ahsmon mengulas mengenai rekod jenayah suspek memberitahu tujuh daripada kes adalah membabitkan kes dadah, dan lain-lainya kes jenayah kekerasan dan jenayah harta benda.

Suspek kini ditahan di lokap polis untuk siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu kes samun berkumpulan tanpa senjata api.

Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan juga disebat. — DayakDaily