Lelaki mengamuk, ditembak kerana cuba serang polis di Bako

Parang yang digunakan suspek semasa kejadian.

KUCHING, 31 Mei: Seorang lelaki ditembak di kedua-dua kakinya selepas dikatakan mengamuk dan cuba menyerang anggota polis menggnakan sebilah parang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kejadian berlaku di Jalan Besar Bako, di sini apabila suspek dilaporkan tiba-tiba mengamuk dan mengugut membunuh ahli keluarganya iaitu sekitar jam 11.30 pagi.

Bertindak atas laporan tersebut, dua buah kereta peronda polis (MPV) hadir di lokasi kejadian dan bersama-sama penduduk di sekitar kawasan tersebut cuba memujuk suspek.


“Suspek kemudian dikatakan bertindak menyerang jiran-jirannya sebelum dia tiba-tiba meluru dan melibaskan parang pada seorang pegawai polis.

“Ekoran itu, pegawai polis berkenaan terpaksa melepaskan tembakan ke arah kaki suspek sehingga menyebabkan kedua-dua kakinya cedera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Suspek kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Siasatan awal polis percaya suspek yang berusia 24 tahun dipengaruhi dadah,” katanya.

Menurutnya juga, suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan empat lagi rekod jenayah terlibat jenayah harta benda.

Kes disiasat dibawah Seksyen 307 dan 427 Kanun Keseksaan. — DayakDaily