Lelaki melecur, rumah didiami musnah terbakar

Mangsa yang melecur sedang diberi rawatan.
Advertisement

Oleh Dean Adam

MIRI, Jan 27: Seorang lelaki warga emas melecur selepas kediaman yang didiaminya musnah terbakar dalam satu kebakaran di Kampung Lambir di sini petang tadi.

Kejadian kira-kira pukul 4.35 petang itu mengakibatkan sebuah rumah jenis struktur tidak kekal terbakar 100 peratus.

Advertisement

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 4.36 petang.

Jelasnya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri kemudian diarahkan ke lokasi untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

“Sejurus tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak kediaman tersebut sebelum operasi memadam segera dilakukan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, seorang lelaki warga emas dalam keadaan melecur sebelum diberi rawatan oleh petugas perubatan,” katanya di sini hari ini.

Law menambah, kebakaran itu dapat dipadam sepenuhnya pada pukul 6.10 petang.

Ujarnya, mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Miri untuk tindakan selanjutnya.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian masih dalam proses siasatan,” ujarnya. -DayakDaily

Advertisement