Lelaki maut terlibat kemalangan di Batu 7, Matang

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

KUCHING, Okt 23: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan di Batu 7, Jalan Matang di sini sekitar jam 11.27 malam, semalam.

Semasa kejadian mangsa, Kim Nam Nyoun, 27 tahun, dikatakan dalam perjalanan dari arah Kuching sebelum berlanggar dengan sebuah kereta di hadapan sebuah sekolah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, DSP Bingkok John berkata impak pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.


“Mangsa berlanggar dengan sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan dan disahkan pasukan paramedik yang tiba di lokasi kemalangan,” katanya.

Bingkok berkata, kes masih disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Hasil pemeriksaan di tempat kejadian juga mendapati bahagian hadapan kereta berkenaan remuk akibat pelanggaran.

Bagaimanapun, pemandu kenderaan itu tiada di tempat kejadian.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tujuan bedah siasat. — DayakDaily