MIRI, Ogos 19: Seorang lelaki maut selepas tercampak keluar dari sebuah Toyota Hilux yang dipandunya dalam satu kemalangan di Jalan Miri Bypass di sini hari ini.
Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, identiti mangsa masih belum diketahui lagi.
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, kejadian sama turut mengakibatkan seorang wanita dan kanak-kanak cedera.
Katanya, sebelum itu, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 12.33 tengah hari.
“Sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.
“Apabila tiba, anggota bomba mendapati seorang lelaki dalam keadaan sudah tidak bernyawa dan berada di luar kenderaan tersebut, manakala dua lagi mangsa yang selamat berjaya keluar menyelamatkan diri,” katanya di sini hari ini.
Law menambah, pasukan bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada dua mangsa yang selamat sebelum dibawa ke Hospital Miri.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi itu tamat pada pukul 1.07 petang selepas pihak polis membawanya mayat mangsa ke Hospital Miri untuk dibedah siasat,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily