Lelaki maut, motosikal rempuh kereta di laluan bertentangan

Keadaan kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan kereta di KM13, Jalan Kota Samarahan-Mambong.

KOTA SAMARAHAN, Feb 11: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah kereta di KM13, Jalan Kota Samarahan-Mambong di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, mangsa, David Nunong Daw, 39, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Menurut beliau, sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke arah Serian dari arah Kuching.


“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kemalangan, motosikal yang ditunggangnya dikatakan hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

“Keadaan itu mengakibatkan mangsa bertembung dengan sebuah kereta yang kebetulan bergerak di laluan bertentangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, mayat mangsa sudah dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.

Katanya, pemandu kereta itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily